Ahad, 17 Disember 2017

WB79L kes selesai

Berjaya ditangkap.

WB79L BMW putih

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut ditikam dan digilis sebuah kereta selepas diserang di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini, malam ini.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, mangsa yang berusia lingkungan 30-an meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebelum itu, mangsa bersama isterinya wanita warga asing berusia 20-an menaiki kereta jenis Volkswagen Polo berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi angin tayar kereta.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata sejurus kemudian datang sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta BMW berwarna putih menghampiri kereta mangsa.

"Seorang daripada suspek dipercayai keluar dari kereta dan menarik isteri mangsa sebelum wanita terbabit berjaya menyelamatkan diri.

"Mangsa cuba mempertahankan isterinya kemudian bergelut dengan seorang daripada suspek sebelum suspek yang lain melanggar mangsa sebanyak dua kali," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Mohd Khalil berkata, suspek kemudiannya membaling mercun bagi menakutkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu sebelum melarikan diri.

"Siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan pada dada kiri disyaki ditikam serta kecederaan akibat dilanggar.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Mohd Khalil berkata, polis memohon orang ramai yang terlihat atau mengesan kedudukan suspek yang menaiki kereta BMW berwarna putih dengan nombor pendaftaran WB79L untuk tampil membantu siasatan. 

"Sesiapa mengenali atau dapat mengesan kenderaan ini diminta untuk menghubungi Balai Polis terdekat atau menghubungi Hotline Polis Johor di talian  07-2212999 dengan kadar segera," katanya.