Khamis, 27 April 2017

Dadah Syabu [ice]

ALOR SETAR: Tidak boleh tidur dan tingkah laku aktif terutama pada sebelah malam adalah antara perlakuan “pelik” penagih syabu yang patut diberi perhatian oleh ibu bapa.
Ini adalah untuk memastikan anak mereka tidak terlibat dengan pengambilan dadah tersebut.
Syabu atau nama saintifiknya “dMethamphetamine hydrochloride” adalah sejenis dadah tiruan. Ia juga dikenali dengan nama “ice” atau “crack meth”.

“Mereka yang menghisap syabu tidak boleh tidur dan boleh melakukan aktiviti jenayah seperti pecah rumah dan mencuri

“Ada yang terlibat dengan aktiviti kongsi gelap dan jenayah kekerasan sehingga sanggup membunuh dan merogol akibat kesan halusinasi yang tinggi,” demikian kata Mohd Nazir Mustaffa, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia.

Beliau menambah dadah syabu juga boleh memberi kesan buruk kepada pelajar sekolah.

Menurut beliau, prestasi pelajar yang menagih dadah syabu akan tiba-tiba merudum kerana mereka akan sentiasa ponteng kelas dan malas belajar.

“Sebab itu kita di pihak AADK terus membanteras aktiviti berkaitan dadah terutama di 12 daerah yang dikategorikan hitam dan kelabu di negeri ini supaya ia tidak terus menular dan menjadi “barah”.
“Kita juga akan lebih kerap turun padang berkempen serta mengadakan program kesedaran dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan daerah untuk menerangkan bahaya dadah kepada pelajar supaya mereka tidak terlibat dengan dadah,” katanya.

Isu bersama
Dalam memastikan isu dadah ini dapat dikekang dari terus merebak, Nazir meminta ibu bapa serta masyarakat setempat menjadikan dadah sebagai isu bersama.

Beliau berkata, meskipun pihak AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDM) sentiasa memantau masalah dadah ini, namun penglibatan masyarakat dalam membasmi aktiviti
dadah ini adalah lebih penting.

Ini kerana, katanya, mereka lebih tahu akan keadaan persekitaran dan kawasan kediaman masing-masing.

Nazir turut menggesa ibu bapa yang mempunyai anak yang terlibat dengan penagihan dadah supaya menghantar anak mereka ke Pusat Pemulihan kelolaa AADK di Karangan, Kulim atau pusat pemulihan swasta supaya anak-anak ini yang terlibat dapat dipulihkan semula.

“Ibu bapa yang sayangkan anak mereka mesti memberi peluang kedua kepada anak itu dan tidak membiarkan dirinya begitu sahaja kerana kita menyediakan pusat pemulihan supaya mereka dapat dibantu dan dipulihkan,” tambahnya.

Menurut beliau, pengambilan dadah syabu secara berterusan bukan sahaja boleh mengundang kesan tidak baik kepada remaja termasuk pelajar tetapi menjadi salah satu punca kepada keretakan rumahtangga dan perceraian.

Jelasnya, bagi tempoh Januari hingga Disember 2016 sahaja, Kedah mencatatkan 6,442 kes penyalahgunaan dadah.

Lebih 50 peratus daripada kes tersebut melibatkan penagih berumur 20 hingga 31 tahun ke atas yang menggunakan dadah jenis syabu.

Mohd Nazir berkata, jumlah kes itu menunjukkan peningkatan berbanding 5,411 kes bagi tempoh Januari hingga Disember 2015.

Mengulas lebih lanjut kes pelajar sekolah yang terlibat dengan dadah syabu, beliau berkata keadaan semakin membimbangkan apabila ujian air kencing yang dibuat di sekolah-sekolah bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu mendapati lebih 350 kes pelajar positif syabu.

Perlu rawatan
Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri & Psikologi, Kedah Medical Centre (KMC), Dr Wan Mohd Rushdi Wan Mahmud ketika dihubungi berkata, mereka yang ketagih syabu akan terus bergantung kepada dadah jenis itu jika tiada rawatan pemulihan dilakukan dengan segera.

“Syabu ini bukan dorongan kesan ketagihan seperti heroin.
Yang mendorong individu itu untuk terus mengambil syabu kerana menganggap diri mereka tidak kuat, lemah, longlai dan tidak bersemangat, malah akan tidur jika tidak mengambil syabu,” katanya.

Jelas beliau, pengambilan secara berlebihan dan berpanjangan boleh mengundang bisikan dan bayangan sehingga mereka terangsang untuk bertindak kejam kepada anak sendiri atau ahli keluarga lain.

Cepat dapat rawatan
Dr Wan Mohd Rushdi juga berkata penagih syabu boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu kerana dadah itu memberi rangsangan kepada kekuatan, semangat dan keseronokan.
“Sebab itu ia dadah yang semakin popular dalam kalangan penagih ketika ini,” tambahnya.

Beliau menasihati ibu bapa supaya segera membawa anak yang terlibat dengan dadah syabu untuk mendapatkan rawatan kerana jika dibiarkan berlarutan, ketagihan sukar dikawal dan ditinggalkan.

“Morfin dan heroin ada ubat untuk berhenti tetapi syabu tiada pengganti atau ubat untuk membolehkan penagihnya berhenti dari tabiat buruk itu melainkan datang mendapatkan rawatan awal sebaik sahaja dikesan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak memandang ringan jika ada anak mereka yang minum air ketom dan merokok kerana ia permulaan “laluan” kepada anak-anak mengenali syabu dan dadah lain.

“Mula-mula air ketom tetapi lama kelamaan mereka mencuba dadah pula. Jangan sekali-kali mula menghisap syabu kerana syabu susah untuk dirawat jika sudah lama terlibat,” katanya.

Katanya, pengambilan syabu tanpa had boleh menyebabkan seseorang menjadi kurus kering disebabkan tidak lalu makan dan minum.

“Ada kes yang boleh menyebabkan kematian apabila degupan jantung terlalu kuat,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan