Rabu, 1 Februari 2017

Ditikam hanya berpunca terlanggar bahu

Kuala Lumpur: Berlanggar bahu dengan seorang lelaki di sebuah pusat hiburan di Mont Kiara di sini, menjadi punca seorang pekerja swasta maut ditikam lelaki berkenaan dalam kejadian Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, kejadian berlaku pada 4.30 pagi ketika mangsa berusia 27 tahun bersama tiga rakannya hendak meninggalkan pusat hiburan berkenaan.

Beliau berkata, mangsa dikatakan tidak sengaja terlanggar bahu lelaki itu yang turut ditemani beberapa rakan sehingga berlaku salah faham sebelum mangsa ditikam.

"Mangsa ditikam dengan pisau lipat di bahagian dada kanan manakala dua rakannya cedera dibelasah kumpulan lelaki itu," kata Munusamy di sini, hari ini.

Mangsa kemudian dibawa ke rumahnya di Flat Sri Selangor sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dan disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman paru-paru.

Munusamy berkata susulan itu polis menahan lapan lelaki tempatan berumur antara 21 tahun sehingga 25 tahun bagi membantu siasatan.

"Kesemua mereka ditahan pada Ahad lepas sehingga semalam di sekitar Kajang dan ibu kota dan direman sehingga Jumaat ini," katanya.

Munusamy berkata polis turut mencari lima lagi lelaki bagi membantu siasatan kes itu yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan